Social Icons

Pages

Rabu, 25 Desember 2013

2 Beradik Hadapi Tuduhan Rasuah Lepaskan Bot


KUALA LUMPUR – Dua beradik lelaki dituduh di dua Mahkamah Sesyen berbeza hari ini atas dakwaan memberi rasuah kepada orang tengah dan pegawai penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi melepaskan bot yang ditahan oleh agensi tersebut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan media memberitahu, Choh Chew Boon, 46 dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bahru, Kelantan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Beliau didakwa memberi rasuah RM20,000 kepada Pengarah Operasi APMM Tok Bali pada Mac lalu. Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

“Hakim Mohd. Yusoff Yunus menetapkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan 6 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, adik Chew Boon, Choh Chaw Khiang, 41, didakwa melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009 membabitkan pemberian rasuah RM200,000 bagi melepaskan bot yang ditahan APMM.

Menurut kenyataan itu, rasuah tersebut didakwa diberi oleh tertuduh dalam dua transaksi berbeza pada tarikh yang sama iaitu pada 8 Jun 2013.

Kata kenyataan itu, tertuduh didakwa memberi rasuah RM100,000 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada pukul 1 pagi, manakala satu lagi transaksi dilakukan pada pukul 4.25 petang di sebuah hotel lain membabitkan rasuah RM100,000.

Kesemua rasuah itu didakwa untuk pegawai APMM Putrajaya sebagai dorongan melepaskan dua bot milik syarikat tertuduh yang ditahan pihak APMM atas kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan diataskan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan ikat jamin RM150,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh ditahan dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 7 November 2013.

Jelas kenyataan itu, SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan (MSKB) dan Pegawai Pendakwa Mohd Nur Lokman Samingan (MSKL).

SPRM dalam kenyataan sama turut memaklumkan tiga lagi individu berusia antara 20 hingga 60-an di tahan reman antara empat hingga lima berhubung kes rasuah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar