Social Icons

Pages

Kamis, 20 Februari 2014

Menteri Belia Dan Sukan Mahu Presiden PSM Insaf



PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail harus insaf melihat kemerosotan prestasi skuad negara di peringkat antarabangsa.

Malah, Khairy percaya peminat sendiri dapat menilai kelemahan PSM dalam menangani kemerosotan prestasi skuad kebangsaan yang terus dilanda kekalahan memalukan.

Saya fikir pencapaian skuad negara sudah jelas menceritakan segalanya,” katanya pada sidang media selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melancarkan program ‘Walk 4 Malaysia’ di sini hari ini.

Bagaimanapun Khairy meminta persatuan itu tidak salah faham dengan kenyataan itu kerana beliau tidak berhasrat untuk menghukum sukan berkenaan.

“Hajat saya memang kita bangunkan semula sukan sepak takraw yang menjadi sukan yang berasal dari negara kita. Cuma kita nak melihat soal pentadbiran sukan itu dijalankan dengan baik,” katanya.

Khairy berkata tidak ada keperluan untuk beliau, mahupun Ahmad untuk ‘berperang’ dalam media semata-mata untuk mengulas kemerosotan skuad sepak takraw negara.

Bagaimanapun, katanya beliau akan menunggu masa yang sesuai untuk berjumpa Ahmad selepas meneliti beberapa aspek.
“Saya nak jumpa dengan beliau. Cuma tinggal lagi saya telah minta supaya kajian mendalam dibuat sebelum saya berjumpa dengan beliau sebab terlalu banyak pandangan dan aduan yang menyatakan kepincangan dalam perkara ini,” katanya.

Selain itu Khairy juga mahu peruntukan kewangan kepada PSM dibelanjakan secara berhemah dan perlu ada akauntabiliti dalam pengurusan kewangan oleh persatuan itu.

“Jadi kalau saya dikatakan ‘kurang ajar’ sebab nak pastikan wang rakyat itu dibelanjakan dengan berhemah dan betul, saya rasa saya hanya menjalankan tugas saya. Saya rasa saya tidak perlu rasa bersalah dalam perkara ini,” katanya.

Sebelum ini Khairy berkata kementerian itu akan menyekat peruntukan kewangan kepada PSM ekoran kekalahan memalukan pasukan negara kepada Korea Selatan di final Siri Super ISTAF di India baru-baru ini. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar